Tuesday 2 October 2012

'adalah' atau 'ialah' di manakah silapnya? (2)

Perkataan `adalah’ tidak boleh diikuti oleh kata kerja, seperti merupakan, melambangkan, berasaskan dan sebagainya. Ungkapan `adalah merupakan’ amat digemari oleh pengguna bahasa Melayu. Ungkapan ini biasanya diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Oleh itu, perkataan `adalah’ dalam ungkapan seperti ini sememangnya tidak sesuai digunakan. Hanya perkataan `merupakan’ atau `ialah’ boleh digunakan. Contohnya :

1)Institut Irshad adalah merupakan sebuah institut persendirian …(SALAH)
    Institut Irshad merupakan/ialah sebuah institut persendirian … (BETUL)

Oleh sebab perkataan `adalah’ tidak boleh diikuti oleh kata kerja (iaitu perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu), maka penggunaan ungkapan-ungkapan yang berikut adalah SALAH. Contohnya :
… adalah berasaskan …
… adalah berdasarkan …
… adalah dibuat …
… adalah menjadi …
… adalah diperakui …
… adalah dinasihati …
… adalah digalakkan…
… adalah tertakluk …

dan banyak lagi contoh penggunaan ungkapan yang salah seperti yang disenaraikan di atas.


Kata pemeri `adalah’ hanya boleh digunakan bersama-sama kata kerja jika dihubungkan oleh kata sendi seperti untuk, dengan dan sebagainya.

1)Matlamat utama Unit ini adalah membantu pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan.(SALAH)
    Matlamat utama Unit ini adalah untuk membantu pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan.(BETUL)

2)Satu usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah penerangan untuk tatapan masyarakat.(SALAH)
    Satu usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah penerangan untuk tatapan masyarakat.(BETUL)

Bolehkah perkataan `adalah’ digunakan pada awal ayat? Jawapannya tidak boleh. Perkataan `adalah’ ialah kata pemeri, yakni unsur yang menjadi pemerihal atau penghubung antara subjek dengan kata satu rangkai kata utama dalam predikat. Contohnya :

      Dunia ini                         adalah                       fana
            |                                      |                                |    
            |                                      |                                |
      SUBJEK                 KATA PEMERI           PREDIKAT
                                       = Penghubung

Contoh kesilapan penggunaan perkataan `adalah’ yang biasanya diikuti oleh kata kerja pada awal ayat adalah seperti yang berikut:

1)Adalah dimaklumkan bahawa …(SALAH)
    Dengan ini dimaklumkan bahawa …(BETUL)

2)Adalah diumumkan bahawa …(SALAH)
    Dengan ini diumumkan bahawa …(BETUL)

3)Adalah diharapkan dengan pemilihan ini …(SALAH)
    Dengan pemilihan ini diharapkan …(BETUL)

4)Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa …(SALAH)
    Dengan ini dimaklumkan bahawa …(BETUL)

No comments:

Post a Comment