Tuesday 2 October 2012

'semua tugas-tugas' atau 'semua tugas'

`SEMUA TUGAS-TUGAS’ ATAU `SEMUA
TUGAS’?
Perkataan seperti lima, sepuluh, seratus, lima ribu, semua, segala, sejumlah, beberapa, sekalian, seluruh, sebilangan, sepertiga, berabad-abad, berkotak-kotak, masing-masing, setiap, setengah-setengah dan sebagainya tergolong dalam kata bilangan.
Dalam penggunaan kata bilangan dalam ayat, kita selalu membuat kesilapan dengan menggandakan perkataan yang mengikutinya. Ini tidak perlu sama sekali!

Cuba perhatikan kesilapan yang sering kita lakukan dalam penggunaan kata bilangan, seperti contoh yang berikut:

1) Penekanan kaedah ini adalah kepada empat unsur-unsur yang berikut:…(SALAH)
     Penekanan kaedah ini adalah kepada empat unsur yang berikut:…(BETUL)

2) … banyak organisasi-organisasi…(SALAH)
     … banyak organisasi …(BETUL)

3) … banyak langkah-langkah …(SALAH)
     … banyak langkah …(BETUL)

4) … semua tugas-tugas …(SALAH)
     … semua tugas …(BETUL)

5) … semua anggota-anggota …(SALAH)
     … semua anggota …(BETUL)

6) … semua ilmu-ilmu dan panduan-panduan …(SALAH)
     … semua ilmu dan panduan …(BETUL)

7) … semua aspek-aspek …(SALAH)
     … semua aspek …(BETUL)

8)… semua kerja-kerja pembinaan …(SALAH)
    … semua kerja pembinaan …(BETUL)

9)… penggabungan kesemua unsur-unsur tersebut …(SALAH)
    … penggabungan kesemua unsur tersebut …(BETUL)

10)… kesemua filem-filem …(SALAH)
       … kesemua filem …(BETUL)

11)… segala aspek-aspek …(SALAH)
      … segala aspek …(BETUL)

12)… segala maklumat-maklumat …(SALAH)
       … segala maklumat …(BETUL)

13)… ramai pengguna-pengguna jalan raya …(SALAH)
      … ramai pengguna jalan raya …(BETUL)

14)Penambahan jumlah anak-anak yang cerdik …(SALAH)
       Penambahan jumlah anak yang cerdik …(BETUL)

15)… sejumlah besar keluarga-keluarga …(SALAH)
      … sejumlah besar keluarga …(BETUL)

16)… sebilangan besar ahli-ahli koperasi …(SALAH)
       … sebilangan besar ahli koperasi …(BETUL)

17)Kebanyakan orang-orang yang bekerja…(SALAH)
       Kebanyakan orang yang bekerja(BETUL)

Perkataan-perkataan yang berikut juga tergolong dalam kata bilangan. Oleh itu, perkataan yang mengikutinya tidak perlu digandakan. Perkataan-perkataan tersebut ialah:
berbagai-bagai/pelbagai
para
sebahagian
segenap
keseluruhan
kedua-dua
beribu-ribu
berguni-guni
tiap-tiap
masing-masing

No comments:

Post a Comment