Tuesday 2 October 2012

'adalah' atau 'ialah' di manakah silapnya? (1)

Marilah sama-sama kita perhatikan kesilapan penggunaan perkataan `adalah’ di tempat `ialah’ dalam contoh yang berikut :

1)Sepak takraw adalah sukanyang elok dipertandingkan ...(SALAH)
    Sepak takraw ialah sukan yang elok dipertandingkan ...(BETUL)

2)Beliau adalahorang yang pertama membiakkan ...(SALAH)
    Beliau ialah orang yang pertama membiakkan ...(BETUL)

3)Kaum wanita adalah elemen ...(SALAH)
    Kaum wanita ialah elemen ...(BETUL)

4)Malaysia mesti mempunyai rakyat yang sejumlah besar daripadanya adalah orang-orang yang  berpendidikan tinggi ...(SALAH)
    Malaysia mesti mempunyai rakyat yang sejumlah besar daripadanya ialah orang yang berpendidikan tinggi ...(BETUL)

5)Anak adalah anugerah Allah...(SALAH)
    Anak ialah anugerah Allah...(BETUL)

6)Matlamat NURY adalah pembinaan masyarakat cemerlang.(SALAH)
    Matlamat NURY ialah pembinaan masyarakat cemerlang.(BETUL)

7)Memandangkan T.Y.T. Tun adalah bekas Pengerusi Lembagan Pengelola DBP ...(SALAH)
    Memandangkan T.Y.T. Tun ialah bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ...(BETUL)

8)Masalah yang kita hadapi adalah kekurangan pendapat yang bernas.(SALAH)
    Masalah yang kita hadapi ialah kekurangan pendapat yang bernas.(BETUL)

9)Perkara ini adalah masalah yang tidak mudah diatasi.(SALAH)
    Perkara ini ialah masalah yang tidak mudah diatasi.(BETUL)

Dalam contoh-contoh yang diberikan di atas, penggunaan `adalah’ adalah salah kerana `adalah’ hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, daripada, dengan dan sebagainya. Manakala `ialah’ pula hanya digunakan di hadapan perkataan atau rangkai kata yang berupa kata nama atau frasa nama, yakni perkataan atau rangkai kata yang menyatakan nama sesuatu benda, keadaan, pekerjaan, konsep dan sebagainya, seperti sukan, orang yang pertama, elemen, orang yang berpendidikan tinggi, anugerah Allah, pembinaan masyarakat cemerlang, bekas Pengerusi Lembaga Pengelola, kekurangan pendapat yang bernas, satu masalah yang tidak mudah diatasi dalam contoh di atas.

Perhatikan pula kesilapan penggunaan perkataan `ialah’ di tempat `adalah’ dalam contoh yang berikut :

1)Kursus ini ialah untuk menerangkan…(SALAH)
    Kursus ini adalah untuk menerangkan …(BETUL)

2)Tarikh kerja pembaikan lif `dijangka siap ialah pada 15 Januari 1995.(SALAH)
    Tarikh kerja pembaikan lif dijangka siap adalah pada 15 Januari 1995.(BETUL)

Contoh di atas menunjukkan bahasa perkataan `adalah’ digunakan di hadapan kata sendi nama, seperti untuk dan pada, bukan `ialah’.

`Adalah’ juga digunakan di hadapan kata adjektif, iaitu kata atau rangkai kata yang menunjukkan sifat sesuatu. Contohnya:

1. Kenyataan itu adalah benar.

2. Kenyataan itu adalah tidak benar.

3. Dunia ini adalah fana.

4. Dunia ini adalah tidak fana.

5. Ucapannya itu adalah terlalu panjang.

6. Keputusan itu adalah tidak adil.

7. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Catatan : Dalam ayat-ayat contoh di atas, perkatan `adalah’ tidak wajib, yakni perkataan ini boleh digugurkan. Perkataan `adalah’ hanya digunakan sebagai penegas sahaja.

No comments:

Post a Comment